Dalam kalendar Hijrah, kita kini memasuki Rabiulawal. Jika sesetengah kita lebih senang mengetahui kita kini berada di bulan November tetapi Rabiulawal ini lebih bermakna kerana ia merupakan ulangtahun kelahiran Nabi Muhammad SAW.
Jika dahulu dunia berada dalam kegelapan tanpa agama, kekufuran, menyembah berhala dan tidak mengenal siapa penciptaNya namun kelahiran Baginda Nabi pada 12 Rabiualawal nyata mampu membawa rahmat yang besar ke seluruh alam iaitu penyebaran agama Islam ke seluruh pelusuk dunia.
Sebagai insan kamil yang memiliki keperibadian cukup tinggi, Rasulullah adalah contoh ikutan yang wajib kita ikuti kerana di akhirat kelak, hanya dengan syafaat Baginda kita berpeluang memasuki syurga Allah (moga kita semua terpilih memasukinya).
Mengenang perjuangan Rasulullah, maka setiap tahun kita akan meraikan sambutan Maulidur Rasul yang akan disambut 9 November ini. Memilih tema Negara Rahmah, Ummah Sejahtera, Sabtu ini kita akan meraikan sambutan Maulidur Rasul yang akan diadakan di Axiata Arena, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil.
Apa di sebalik Maulidur Rasul yang wajib kita ambil tahu?
Bukan hanya bercuti pada hari itu sahaja tetapi sebenarnya kita akan menjadi orang yang rugi jika tidak mengetahui apa pentingnya Maulidur Rasul buat kita sebagai umat Islam?
Maulidur Rasul membawa maksud hari kelahiran rasul kita iaitu Nabi Muhammad SAW. Baginda lahir pada 12 Rabiulawal Tahun Gajah. Seperti yang kita ketahui, Nabi Muhammad SAW, merupakan individu paling berpengaruh di dunia.
Seorang tokoh terkenal iaitu Michael H. Hart telah menerbitkan sebuah buku yang bertajuk 100: Kedudukan Tokoh Paling Berpengaruh dalam Sejarah pada tahun 1978. Ia menyenaraikan kedudukan 100 orang tokoh, yang dalam pendapatnya, merupakan manusia paling berpengaruh dalam sejarah.
Ternyata Nabi Muhammad SAW diletakkan sebagai individu paling berpengaruh dunia mengalahkan tokoh-tokoh lain seperti Isaac Newton (ahli fizik, penemu teori graviti semesta & hukum gerakan), Christopher Columbus (ahli pelayaran terkemuka), Albert Einstain, Aristotle (ahli falsafah Yunani berpengaruh) dan banyak lagi. Hebatkan Rasulullah kita.
REMAJA berkesempatan menemuramah Ustaz Azhar Tuarno yang juga seorang pegawai JAKIM tentang keperibadian Rasululllah SAW dan kenapa perlunya kita berselawat ke atas Nabi agar kita tidak menjadi orang yang rugi di hari akhirat kelak.
Menurut Ustaz Azhar, keperibadian Rasulullah SAW memang tiada tolok bandingnya.
Menurut Saidina Ali r.a, Rasulullah itu sifatnya :
* Mudah tersenyum
*Akhlaknya baik
*Lemah lembut orangnya
*Bahasa percakapannya tak pernah kasar (baginda Nabi Muhammad SAW tak pernah keluarkan bahasa kesat atau kotor sepanjang hayatnya)
* Perangainya tak bengis
* Tak suka menjerit-jerit
* Tak suka mengherdik
* Tak kedekut
* Kalau ada perkara tidak disukai Baginda, wajahnya akan bersahaja dan tidak akan menunjukkannya
* Tak pernah menolak permintaan orang yang berhajat. Nabi Muhammad SAW akan berusaha sampai tidak kira yang menjemputnya itu orang miskin papa kedana sekali pun. Ini dinyatakan dalam satu peristiwa di mana Nabi sedang menggali kubur untuk Perang Khandak. Disebabkan makanan tidak mencukupi, hanya Baginda dan beberapa sahabat dijemput. Memikirkan dirinya dijemput dan masa yang sama tidak sampai hati orang lain tidak dijemput dan diberi makan, Rasulullah telah mengajak kesemuanya pergi ke rumah dinyatakan. Dengan mukjizat Baginda, ternyata semua orang dapat makan dan makanan mencukupi.
Jelas Ustaz Azhar, itu antara sebahagian sifat keperibadian Rasulullah seperti dinyatakan dalam buku IKON TERBAIK, (ringkasan berkaitan peribadi, adab dan akhlak Nabi Muhammad SAW yang dikarang oleh Syeikh Abu Al-Hassan Ali al-Nadwi.
Jika dilihat mengenai wajahnya pula, Nabi Muhammad SAW digambarkan sebagai seorang lelaki yang cukup sempurna.
* Wajahnya bak bulan purnama, dadanya bidang. Rupa paras Baginda bersinar-sinar umpama bulan purnama pada waktu malam.
* Kulitnya sangat halus. Anas RA yang berkata, aku tidak pernah menyentuh kain sutera yang lebih lembut daripada tangan Rasulullah dan aku juga tidak pernah mencium wangian yang lebih wangi daripada keharuman tubuh Baginda.
*Giginya putih bersih
* Janggutnya kehitaman
*Lebat bulu keningnya
Kenapa rugi jika kita mulut kita jarang berselawat Nabi?
Kenapa ia perlu menjadi perkara penting dalam hidup kita sebagaimana kita beranggapan makan itu penting, tidur itu penting, mencari duit itu penting? Ini samalah dengan BERSELAWAT KE ATAS NABI MUHAMMAD ITU JUGA SANGAT PENTING UNTUK HARI AKHIRAT KITA.
Menurut Ustaz Azhar, kenapa berselawat Nabi itu penting kerana IA RUKUN DALAM SOLAT LIMA WAKTU & RUKUN WAJIB KETIKA BACAAN KHUTBAH. Jika tidak dilakukan, solat dan khutbah batal.
“Tengok betapa pentingnya selawat ini sehingga Allah perintahkan ia rukun wajib dalam solat. Malah rukun wajib dalam bacaan khutbah juga,” katanya memaklumkan Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, terdapat dua golongan manusia yang akan paling hampir dengan baginda Nabi adalah orang yang paling banyak berselawat dan paling baik akhlaknya.
Ini sesuai dengan hadis riwayat Tarmidzi, Nabi Muhammad SAW bersabda, “Orang yang paling dekat denganku di hari kiamat nanti adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.
“Satu lagi orang yang paling hampir denganku ialah orang yang baik akhlaknya.
Jadi biasakan diri berselawat ke atas Nabi dan setiap kali kita terdengar nama Nabi Muhamamad SAW disebut, maka sambutlah ia dengan sebutan sallahualahiwassalam.
Tahukah, jika lidah kita sentiasa basah dengan zikir dan selawat maka Allah akan melimpahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian ke atas Nabi Muhammad SAW maka Allah akan membalas selawat kita itu dengan cara menurunkan rahmat, berkat serta kemuliaan kepada orang yang selalu melakukannya.
Dalam pada itu, Ustaz Azhar turut memaklumkan bahawa sambutan Maulidur Rasul adalah sesuatu yang tidak salah untuk disambut dan diraikan kerana Allah dan Malaikat sendiri memuliakan Rasulullah SAW.
Nabi pernah bersabda, “Sesiapa berselawat kepadaku sekali selawat, maka Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali (HR Muslim),” katanya jika Allah Pencipta seluruh Alam memuliakan Nabi, tidak ada kesalahan kita mengadakan sambutan Maulidur Rasul itu sendiri.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source