Akhirnya rancangan untuk pergi mengembara bersama-sama dua lagi rakan, Umie Syazwani dan Wan Afifah menjadi kenyataan apabila kami selamat sampai di negara bersejarah, Kemboja pada 28 Mac 2018. Percutian yang sudah dirancang setahun yang lepas ini merupakan percutian 4 hari 3 malam dan sebagai backpackers, sudah tentu kami akan memilih tiket penerbangan dengan harga yang lebih murah. Seperti biasa, kami memilih penerbangan Air Asia dengan harga tiket promosi hanya RM155 untuk perjalanan pergi dan balik.
Ingin mengenali serta mempelajari adat dan budaya negara luar, Kemboja dipilih sebagai destinasi percutian kali ini kerana ianya terkenal dengan bangunan bersejarah yang berusia mencecah ribuan tahun. Lebih menarik, para pelancong dapat melihat sendiri keindahan senibina yang sangat unik hasil titik peluh masyarakat zaman dahulu.
Untuk memastikan percutian ini berjalan dengan teratur dan lancar, sudah pasti kami membuat sedikit kajian dari segi pengangkutan, penginapan, makanan serta tempat-tempat menarik dalam menghasilkan jadual perjalanan atau itinerary.
Kemudahan Penginapan Dan Pengangkutan
Kami memilih Onederz Hostel sebagai tempat penginapan sepanjang 4 hari 3 malam ini dimana ianya sangat disyorkan terutamanya kepada backpackers. Hostel yang selesa dengan harga 28.5 USD seorang untuk 3 malam. Manakala, dari segi pengangkutan pula sudah pasti kami memilih tuk-tuk dengan bayaran 15 USD seorang sepanjang berada di sana.
Silk Farm
Penerbangan mengambil masa lebih kurang dua jam. Alhamdulillah kami selamat tiba di Siem Reap International Airport dan pemandu tuk-tuk terus membawa kami ke Silk Farm. Di sini kami memperoleh pengalaman baru apabila dapat melihat sendiri kreativiti masyarakat di sana dalam menghasilkan kain sutera dengan proses-proses yang sangat terperinci.
Maka, tidak hairanlah kain sutera dijual dengan harga yang tinggi sesuai dengan cara pembuatannya yang rumit, daripada ulat yang diternak menjadi kepompong, melalui beberapa lagi proses sehingga terhasilnya sutera.
Cambodian Cultural Village
Seterusnya kami mengunjungi Cambodian Cultural Village yang merupakan sebuah taman tema serta muzium pelbagai etnik di negara Kemboja. Bercerita sedikit tentang sejarahnya, ia sebenarnya mula dibina pada tahun 2001 dan dibuka secara rasmi pada September 2003. Terdapat tujuh kawasan yang mewakili 19 kumpulan etnik di sini. Persembahan atau pertunjukkan yang diadakan termasuklah tarian apsara, perkahwinan tradisional, akrobat, permainan rakyat dan bermacam-macam lagi. Harga tiket masuk pula berharga 15 USD setiap seorang.
Angkor Wat
Pada hari yang kedua, kami pergi ke salah satu tempat menarik yang menjadi tarikan utama pelancongan di Kemboja iaitu Angkor Wat. Dengan tiket berharga 37 USD seorang, setiap pengunjung dibenarkan melawat pelbagai kuil di sekitar kawasan tersebut. Angkor Wat yang bermaksud “Kuil Kota” merupakan kuil yang paling indah dan terbesar antara kuil-kuil Angkor. Keseimbangan kuil ini bersama komposisinya serta kecantikkannya menjadi ia salah satu monument terbaik di dunia. Kami pun sudah pasti tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar-gambar menarik!
Bayon Temple
Kami juga tidak ketinggalan melawati kuil Bayon yang dikenali sebagai sebahagian daripada destinasi terkenal dunia Angkor dengan menampilkan pencirian satu lautan besar berwajah yang melebihi 200 buah dan memandang dalam semua arah. Melihat kedatangan pelancong lain di sini menunjukkan bahawa ramai yang ingin lebih mengenali sejarah serta asal usul bangunan lama ini. Siapa kata tempat bersejarah ini bosan? Banyak sebenarnya perkara baru yang boleh kita pelajari.
Ta Phrom
Ini juga adalah kuil yang wajib dikunjungi apabila berada di Kemboja. Lokasi ini terkenal kerana pernah menjadi tempat pembikinan filem Hollywoood, Tomb Rider. Dengan usianya menghampiri 1000 tahun, ia adalah binaan yang sangat berharmoni dengan hutan. Batang dan akar pokok hutan pula saling menyokong binaan yang hampir runtuh dan kami dapat merasakan suasana di dalam kuil Ta Phrom agak dingin. Apa yang lebih menarik di sini adalah terdapat 3 spesies pokok tumbuh membesar yang berusia beratus tahun lamanya. Terpegun kami dibuatnya.
Phrase Cambodia Circus
Ini lah salah satu pengalaman yang menyeronokkan iaitu di Phrase Cambodia Circus. Apa yang terlintas di fikiran kami setelah mendengar nama lokasi ini ialah pertunjukan haiwan, tetapi sebenarnnya ia adalah sebuah persembahan lebih kurang seperti teater yang menggunakan aksi circus. Dikenakan bayaran tiket berharga 18usd, kami merasakan ianya sangat berbaloi.
Lotus Farm
Setelah puas mengelilingi kawasan kuil bersejarah, kami singgah di Lotus Farm pada hari ketiga pula. Tiada bayaran dikenakan, Lotus Farm merupakan satu ladang bunga teratai yang agak luas, dan ianya sesuai untuk dijadikan tempat fotografi dengan pemandangan yang tenang dan cantik.
Satu pengalaman baru apabila pemandu tuk-tuk kami mengajar cara-cara untuk memakan biji teratai atau lotus seeds. Agak pelik pada mulanya, tetapi sememangnya rasanya seperti kekacang. Sebenarnya memang ramai masyarakat di sana yang menjual biji teratai ini, bermakna ia boleh dimakan terus begitu sahaja. Pelik kan tetapi benar!
Night Market (Angkor Night Market- Pub Street- Old Market)
Masa untuk membeli ole-ole! Kami singgah di kawasan sekitar Angkor Night Market dengan tujuan mencari buah tangan untuk dibawa pulang ke Malaysia. Suasana di situ agak meriah dengan berkonsepkan kehidupan ala-ala Barat. Dari segi pemakanan di Night Market pula, ianya agak meragukan dan kami hanya membeli Ice Blended buah-buahan dengan harga USD1 serta ais krim gulung yang merupakan salah satu menu popular di sana.
Selain itu, Night Market juga menjadi lokasi tumpuan kerana para pengunjung boleh mendapatkan perkhidmatan urutan dengan harga yang sangat rendah seperti 7 USD untuk urutan seluruh badan manakala 2 USD untuk urutan tapak kaki. Murah kan?
Kemudahan Makanan
Salah satu cabaran apabila mengembara ke negara Kemboja ini adalah agak susah bagi Muslim untuk mencari makanan Halal di sana. Bagi mereka yang mempunyai rancangan ingin meneroka negara Kemboja, kami sarankan anda untuk pergi Restoran The Siem Reap Backpackers dimana ia menyediakan semua hidangan Halal.
Selesai semua aktiviti, kami pulang pada hari keempat dengan membawa banyak kenangan manis serta pengetahuan baru terutamanya tentang sejarah dan budaya masyarakat di sana. Sememangnya pengalaman ini akan kami kenang selamanya. Terima kasih rakan-rakan backpackers dan terima kasih Kemboja! Semoga kita jumpa lagi pada masa akan datang.
Foto& Catatan: Azfarina Sulaiman
Baca ini juga: https://stg.libur.com.my/khas-untuk-wanita-ini-15-tips-kalau-nak-travel-solo/
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source