Penyusuan susu ibu memberikan banyak faedah buat si ibu. Ini termasuklah potensi menurunkan berat badan dengan lebih cepat setelah melahirkan anak.
Malahan, bagi kebanyakan wanita yang menyusukan anak, perkara ini dilihat sesuatu yang mengujakan.
Sesungguhnya, masa yang diperlukan untuk mengurangkan berat badan selepas bersalin berbeza kepada setiap individu wanita.
Ramai ibu menyusu badan mengakui bahawa penyusuan eksklusif yang dilakukan membantu mereka mendapatkan kembali berat badan sebelum mengandung dengan lebih cepat.
Pun begitu, tidak dinafikan terdapat juga ibu lain tidak menyedari kesan tersebut atau lebih kepada menambah berat badan semasa menyusu.
Jadi adakah benar penyusuan susu ibu boleh membantu menurunkan berat badan atau ia sekadar mitos semata-mata?
Jika ya, bagaimana ia terjadi?
Bagaimana penyusuan badan membantu menurunkan berat badan?
Tanggapan penyusuan eksklusif sebagai kaedah semula jadi bagi membantu ibu selepas bersalin untuk kehilangan berat badan adalah satu situasi biasa.
Antara faktor berkemungkinan yang membantu adalah kerana ibu menyusu membakar lebih banyak kalori setiap hari.
Berdasarkan penyelidikan, dikatakan ibu yang menyusu secara eksklusif cenderung membakar lebih kurang 500 kalori tambahan setiap hari.
Keadaan ini setara dengan menyingkirkan saiz hidangan kecil, snek bersaiz besar ataupun melakukan latihan fizikal intensiti sederhana 45-60 minit.
Di samping itu, kebanyakan ibu mengamalkan penyusuan badan mungkin juga lebih peka dengan apa yang mereka makan.
Secara tidak langsung, ia turut menyumbang kepada penurunan berat badan melalui pengambilan makanan diproses yang lebih rendah dan pengambilan dalam kuantiti banyak bagi protein tanpa lemak, buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin serta kekacang.
Gabungan pemakanan dan penyusuan susu ibu
Kedua-dua faktor ini dapat menjelaskan mengapa hasil kajian secara konsisten menunjukkan bahawa wanita mengamalkan penyusuan susu cenderung dapat menurunkan berat badan lebih cepat berbanding mereka yang tidak.
Sebagai contoh, dalam satu kajian melibatkan wanita yang menyusukan anak secara eksklusif sekurang-kurangnya untuk tempoh 3 bulan, mereka berjaya menghilangkan berat 1.5 kilogram (kg) lebih banyak.
Situasi tersebut melibatkan perbandingan dengan ibu yang memberikan anak susu formula atau gabungan susu badan bersama susu formula.
Ini bermakna, semakin lama penyusuan susu ibu dilakukan, semakin kuat kesan penurunan berat akan dapat dilihat.
Wanita yang menyusukan anak juga dikatakan 6% lebih cenderung untuk kembali atau kehilangan berat badan sebelum kehamilan berbanding wanita yang tidak menyusu secara eksklusif.
Kajian sokongan lain
Penyelidikan lain juga melaporkan keputusan yang serupa.
Ia bukan sekadar menurunkan berat badan, bahkan, ibu yang menyusukan anak juga dapat mencapai berat badan sebelum kehamilan lebih kurang 6 bulan lebih awal daripada mereka yang memberikan si manja susu formula.
Penyusuan susu ibu juga boleh memberi kesan jangka panjang yang positif pada berat badan anda.
Dalam satu kajian, wanita yang menyusu anak selama 6-12 bulan mempunyai peratusan lemak badan keseluruhan lebih rendah untuk 5 tahun selepas bersalin.
Penyelidikan lain turut mendapati bahawa wanita yang menyusu badan secara eksklusif selama lebih dari 12 minggu selepas bersalin adalah 3.4 kg lebih ringan dalam tempoh 10 tahun selepas kehamilan.
Ibu-ibu ini juga dapat mengekalkan berat badan 2.6 kg lebih ringan berbanding mereka yang menyusukan anak kurang daripada tempoh 12 minggu.
Hasil dapatan kajian ini menunjukkan bahawa kedua-dua jangka masa dan kekerapan penyusuan susu ibu dapat mempengaruhi peratusan dan jumlah penurunan berat badan selepas bersalin.
Mengapa berat tak turun walaupun menyusu badan?
Menurunkan berat badan semasa menyusu mungkin tidak mudah bagi semua ibu selepas melahirkan anak.
Secara teorinya, kehilangan 500 kalori setiap hari dapat membantu ibu menyusu badan kehilangan sekitar 0.45 kg seminggu. Ia bersamaan dengan jumlah lebih kurang 1.8 kg sebulan.
Oleh itu, ibu menyusukan anak yang naik berat antara 11.5 hingga 16 kg semasa mengandung boleh mengurangkan berat tersebut dalam tempoh 6 hingga 8 bulan pertama selepas bersalin.
Walau bagaimanapun, banyak ibu mengambil masa lebih lama daripada tempoh ini untuk menyingkirkan berat badan ketika mereka mengandung.
Malahan, kajian turut menyatakan kebanyakan wanita dapat mengurangkan 86% berat semasa mengandung dalam tempoh 6 bulan pertama setelah melahirkan anak.
Terdapat juga beberapa kajian mendapati tidak ada perbezaan sama sekali dalam aspek pengurangan berat badan antara ibu yang menyusu dengan yang tidak.
Wujud beberapa sebab mengapa sesetengah wanita mengalami kesukaran untuk menurunkan berat badan ketika menyusukan bayi.
Salah satunya kerana proses penyusuan badan cenderung meningkatkan rasa lapar.
Kajian menunjukkan bahawa sebilangan wanita akan makan lebih banyak dan kurang bergerak ketika menyusu.
Kebanyakan ibu baru juga cenderung mengalami waktu tidur yang tidak teratur dan terganggu.
Kurang tidur adalah faktor lain yang diketahui boleh menyebabkan peningkatan rasa lapar dan selera makan – kedua-duanya mungkin menyukarkan lagi penurunan berat badan.
Bukan sekadar untuk menurunkan berat badan
Apa yang boleh disimpulkan, penyusuan susu ibu sememangnya boleh membantu menurunkan berat badan selepas bersalin walaupun tidak semua ibu menyusu mendapat kesan yang sama.
Walau bagaimanapun, perkara paling penting adalah untuk sentiasa ingat penyusuan susu badan dilakukan bukan semata-mata mengurangkan berat tetapi juga untuk membekalkan nutrisi yang diperlukan si manja.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source