Ruang legar City Hall PIM 3, Jakarta Selatan menjadi saksi kepada kecemerlangan rumah fesyen dari Malaysia, Seth&Luna yang diberikan ruang serta peluang untuk meluncurkan koleksi terbarunya di negara seberang.
Irie Mohamed selaku pengasas dan pereka fesyen bersama jenama fesyen duo, Seth&Luna sewaktu dihubungi REMAJA berkata, kehadiran mereka ke Indonesia baru-baru ini bagi menyertai acara Garis Poetih Raya Festival 2025 merupakan satu bentuk rezeki yang sekian lama telah mereka idam-idamkan.
“Indonesia sentiasa menjadi salah satu negara yang ingin kami tembusi. Telah lama kami memasang hasrat untuk melebarkan sayap ke sana; bukan sahaja kerana pasaran fesyen lebih besar tetapi disebabkan nilai kreativiti, budaya dan cara bekerja mereka yang diletakkan pada aras tertinggi.
“Jujurnya, di Malaysia jenama Seth&Luna selalu dan masih dipandang sebelah mata. Belum pernah di tanah air sendiri, Seth & Luna menjadi pilihan pertama dan utama dalam senarai penganjur acara fesyen tempatan kita.
“Justeru, apabila kami menerima hantaran mesej daripada Ivan Gunawan (penganjur Garis Poetih Raya Festival 2025 & pereka fesyen jenama Mandjha Ivan Gunawan) sendiri bagi menjemput kami menjayakan salah satu slot fesyen di sini, tentulah kami panjatkan rasa syukur dan merasa terharu apabila doa kami selama ini dimakbulkan Allah SWT,” ujar Irie.
Menampilkan lebih 30 rekaan baharu berkonsepkan avant-garde dari perspektif perayaan lebaran sempena pertunjukan fesyen kali ini, idea koleksi Seth & Luna ini tercipta daripada dua rekaan mereka yang terdahulu dan diminati oleh Ivan sendiri.
“Beliau memetik rekaan busana bunga 3D yang pernah digayakan oleh Nana Mahazan dan satu lagi merupakan busana dengan bow dempak seperti yang pernah dilihat pada Riena Diana.
“Sebab itulah koleksi untuk Garis Poetih Raya Festival 2025 ini lebih bersifat showpieces dan tidak seperti busana ready-to-wear kebiasaan bagi menyambut lebaran. Pastinya, pasukan kami bergiat sehabis baik bagi menghidangkan sesuatu yang spectacular khas buat tontonan warga Jakarta,” titipnya lagi yang terbuka hati sekiranya hadir lagi peluang berkolaborasi bersama Ivan Gunawan di sana.
Keberadaan Seth & Luna di sana sepanjang minggu lalu juga membuka mata mereka terhadap ketelitian produksi Indonesia dalam memastikan setiap aspek pertunjukan fesyen tersebut dilaksanakan penuh cermat. Pernah bertandang ke Thailand dan Paris bagi membawakan jenama Seth&Luna, buat Irie, pengalaman di Jakarta memberi perspektif baharu untuknya terutamanya saat berada di sebalik tabir.
Dari sebesar-besar penganjuran pertunjukan fesyen hinggalah sekecil-kecil perkara seperti cara melayan tetamu, Irie mengekori rapat etika kerja serta attitude positif yang dijunjung persada fesyen Indonesia dalam memberikan hanya yang terbaik kepada mata yang sudi ‘menjamah’ idea rekaan mereka.
Masih Kekal Dengan Scha Alyahya
Meski tidak berada secara fizikal di sana bagi menyaksikan sendiri slot fesyen Seth&Luna itu, rasa bangga tetap lahir dari hati sang pemerhati apabila melihat duo fesyen tersebut menjadi wakil sulung negara yang membawa nama Malaysia di acara tersebut.
Cuma tertanya juga, koleksi lebaran Seth&Luna pada tahun ini hanya bagi pasaran Indonesia sahajakah? Korang janganlah gusar kerana Seth & Luna tetap menjanjikan beberapa keluaran khas sempena lebaran hanya untuk korang semua.
Masih mengekalkan Scha Alyahya sebagai muse mereka, koleksi ready-to-wear Shawl Publika X Seth&Luna akan muncul semua namun kali ini dengan rekaan yang 100 peratus berbeza.
“Jika tahun lalu kami perkenalkan rekaan klasik Malaya. Tahun ini, kami maju setapak dengan rekaan berunsur moden, elegan dan lebih sesuai buat pemakai masa kini.”
“Peminat jenama Seth&Luna sudah sinonim dengan sisi rekaan klasik kami dan sudah tiba masanya kita mencuba sesuatu yang lebih segar pula.”
Moden dengan suntikan mewah tetapi dijual pada harga berbaloi, kami juga tidak sabar untuk luncurkan koleksi ini.
“InsyaAllah juga sebelum Syawal tiba, kami akan luncurkan koleksi kedua tas tangan kami berjudul Ketupat; susulan kepada koleksi Tuma pada tahun 2024,” kongsi Irie lagi.
Agar korang tidak terlepas pandang, pastikan tumpuan terarah kepada update terbaru dari platform media sosial Seth&Luna bagi merebut rekaan baharu ini okay!
FOTO: Ehsan Seth&Luna
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Download seeNI sekarang!
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source