Ketua DAP Sarawak mahu penjelasan mengenai hak minyak dan gas

PETALING JAYA: Pengerusi DAP Sarawak menggesa kerajaan negeri dan persekutuan menjelaskan butiran persetujuan antara mereka, mengatakan Sarawak kelihatan seperti telah menyerahkan hak minyak dan gas kepada Putrajaya.
Chong Chieng Jen berkata kenyataan menteri di Parlimen minggu lepas memberi bayangan bahawa “ini kali kedua kerajaan Sarawak berkompromi dan menyerahkan hak minyak dan gas kepada kerajaan persekutuan”.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat berkata suatu persetujuan tercapai dalam mesyuarat antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Abang Johari Openg pada 7 Jan lalu, menyentuh pertikaian mengenai hak kerajaan negeri mengagihkan gas di Sarawak.
“Adakah jawapan yang diberikan oleh Azalina di Parlimen merupakan gambaran yang benar dan adil mengenai perjanjian antara perdana menteri dan premier?
“Jika benar pula, mengapa premier bersetuju dengan terma sedemikian yang menjejaskan tuntutan Sarawak berkenaan haknya ke atas minyak dan gas yang diekstrak dari negeri ini?”
Azalina berkata kerajaan Sarawak mengiktiraf dan menerima Akta Kemajuan Petroleum (Akta 144) sebagai akta menentukan tatakelola dasar dan pengoperasian industri petroleum di Malaysia.
Menurutnya, menerusi pengiktirafan itu, Petronas dan anak-anak syarikatnya tidak perlu dilesenkan serta tidak tertakluk kepada sebarang prosedur tambahan untuk melaksanakan pengoperasian petroleum di Sarawak selain apa yang diperuntukkan dalam Akta 144.
Azalina berkata Petronas juga menerima peranan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) sebagai agregator gas bukan LNG di Sarawak dan bersedia bekerjasama dengan anak syarikat kerajaan negeri itu.
Bulan lalu, Anwar berkata Ordinan Pengedaran Gas Sarawak tidak akan menggantikan Akta 144 dan Perlembagaan, termasuk undang-undang persekutuan lain.
Chong berkata dua peruntukan dalam persetujuan itu memberi kesan kepada kepentingan Sarawak.
Beliau berkata walaupun peranan Petros diiktiraf, ia tiada kawalan ke atas gas asli cecair (LNG), iaitu produk Sarawak yang menjana hasil paling besar.
“Apabila LNG tiada dalam kawalannya, peranan agregator gas sama seperti tiada peranan,” katanya.
“Satu-satunya produk gas di bawah kawalan Petros ialah gas petroleum cecair (LPG), yang digunakan terutamanya untuk memasak di rumah dan kini disubsidi oleh kerajaan persekutuan.”
Sementara itu, menjawab kritikan Chong, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman, mempersoalkan kenapa Chong tidak meminta penjelasan daripada Azalina di Parlimen dan mensasarkan kerajaan Sarawak.
“Kenapa dia berdiam diri di Parlimen dan hanya membangkitkan isu itu apabila pulang ke Kuching? Adakah kerana dia tidak mahu memperjuangkan hak Sarawak?” beliau dipetik sebagai berkata.
Chong berkata beliau akan timbulkan perkara ini di Parlimen minggu depan.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Source