Aksesori audio adalah wajib apabila untuk permainan video. Tidak kiralah sama ada ia set pembesar suara, fon kepala atau TWS, aksesori audio membolehkan individu menyelami dengan lebih baik dunia permainan video. Tetapi bagaimana pula dengan soundbar? Soundbar biasanya digunakan bersama dengan televisyen tetapi Razer ada mengeluarkan soundbar kompak Razer Leviathan V2 X yang merupakan versi mampu milik kepada soundbar mercu Leviathan V2.
Leviathan V2 X direka untuk digunakan bersama monitor komputer dan bukannya televisyen. Selain itu, ia juga adalah sesuai untuk dijadikan sebagai hiasan melengkapkan set gaming pengguna kerana Leviathan V2 X dilengkapi dengan sistem RGB Razer Chroma. Persoalannya, adakah soundbar ini cukup baik untuk memenuhi kesemua keperluan ini.
Spesifikasi Dan Rekaan
Razer Leviathan V2 X | |
---|---|
Jenis | Soundbar |
Pemacu Audio | Pemacu racetrack jarak-penuh: 2 x 2.0 x 4.0″ Radiator pasif: 2 x 2.0 x 4.1″ |
Tambatan | Bluetooth 5.0 |
Input | USB-C Power Delivery |
Output | Tiada |
Sokongan aplikasi | Razer Synapse (Windows/macOS) Razer Audio (Android/iOS) |
Kawalan | Butang fizikal |
Harga Jualan | RM499 |
Tidak banyak soundbar di pasaran yang hadir dalam bentuk yang kompak. Untuk Razer Leviathan V2 X, perkara ini dibolehkan kerana Razer menggunakan pemacu audio berbentuk racetrack – seakan litar lumba untuk menghasilkan speaker bersaiz nipis dan kecil. Untuk mencapai saiz yang kompak sebegini, pengorbanan telah dilakukan dengan Razer membuang sokongan subwoofer, tweeter dan juga sistem audio THX.
Bukan sahaja saiz menyusut berbanding Leviathan V2, harga jualannya juga berkurangan sekitar 65% lebih murah berbanding Leviathan V2. Walaupun begitu, elemen ikonik Razer masih dikekalkan iaitu sokongan sistem RGB Razer Chroma cuma ia dikurangkan ke 14 zon berbanding 18 zon pada produk mercu mereka.
Dalaman Leviathan V2 X ini terdiri daripada dua pemacu audio aktif berbentuk bujur dan dua radiator pasif yang menurut Razer audio yang dihasilkan boleh mencapai sehingga 90dB pada jarak 1 meter. Ia adalah satu kemampuan yang cukup baik untuk soundbar kecil yang diletakkan di meja dekat dengan wajah pengguna.
Razer Leviathan V2 X tidak menawarkan sebarang output sekiranya anda ingin menyambungkan fon kepala berwayar misalnya. Untuk input ia menggunakan sambungan USB-C sahaja dengan kabel USB-C ke USB-C (hujung bentuk L) disertakan dalam setiap pembelian. Untuk saya ia bukan satu masalah kerana menggunakan sebuah komputer riba dengan beberapa port USB-C.
Tetapi jika pengguna lain yang menggunakan PC, kabel USB-A ke USB-C biasa urut boleh digunakan tetapi mungkin sedikit sukar tanpa hujung berbentuk L 90 darjah yang mengelakkan kabel terlipat sepanjang masa. Saya sarankan pembelian penyesuai USB-A ke USB-A sahaja kerana ia lebih praktikal.
Pilihan sambungan lain adalah menerusi Bluetooth 5.0 yang dengan tambatan boleh dilakukan kepada dua peranti.
Soundbar kompak Razer ini turut menggunakan rekaan segi empat yang minimalistik dan nampak elegan. Di hadapan ada logo Razer pada kemasan fabrik, di atas ada butang-butang fizikal yang sedap ditekan untuk kuasa, aras suara, dan pilihan mengubah sambungan (kabel atau Bluetooth).
Jalur RGB kecil turut kelihatan di hadapan dan di bawah ada satu lagi jalur RGB. Di bahagian bawah turut terdapat kaki yang membolehkan pencahayaan disebarkan dengan lebih baik. Akhir sekali di belakang terdapat satu port USB-C sahaja. Langsung tiada input untuk bicu 3.5mm atau optikal yang biasanya hadir secara standard pada sebuah soundbar.
Kualiti Audio
Razer Leviathan V2 X dijual pada harga RM499 yang jauh lebih murah berbanding Leviathan V2 berharga RM1239. Untuk soundbar ini ialah harga yang cukup mampu milik. Tetapi kualiti audio yang dihasilkan adalah kurang memuaskan. Ini kerana ia sekadar kuat dan lantang sahaja sehingga tidak memberikan pengalaman audio yang mengasyikkan.
Bass/Lows
Bass yang dihasilkan adalah lemah. Ia berdentum dengan baik, tetapi tiada definisi membuatkannya tenggelam. Ini secara tidak langsung tidak memberikan hasil yang rancak dan tidak memberi sebarang kepuasan. Disebabkan itu, walaupun ini adalah satu soundbar khusus untuk permainan video – permainan video dengan letupan, tembakan tidak enak. Apatah lagi mendengar muzik dan menonton filem aksi.
Vokal/Mids
Soundbar ini mampu menghasilkan audio yang seimbang. Dari segi vokal atau mids, suara wanita atau lelaki memang jelas kedengaran ketika mendengar muzik – tetapi ia tiada definisi dan cepat membosankan pada hemat saya. Bermakna, soundbar ini sesuai untuk mendengar audio daripada adegan-adegan khas dalam permainan video yang banyak perbualan antara watak atau juga digunakan untuk mendengar kandungan podsiar.
Nada Tinggi/Highs
Seperti bass tadi, nada tinggi juga amat lembut. Tahap nyaring yang baik tidak tercapai dan tidak cukup tajam. Ia seakan cuba mencucuk ke telinga, tetapi bukan dengan pisau tajam sebaliknya dengan pisau tumpul. Walaupun sudah ubah equaliser yang terbina dalam aplikasi, ia masih bukan citarasa saya.
Aplikasi Dan Kawalan
Terdapat dua pilihan aplikasi iaitu Razer Synapse untuk kawalan melalui komputer Windows atau macOS dan aplikasi Razer Audio melalui Android atau iOS. Pada aplikasi Razer Audio, ia amat ringkas dan mesra pengguna. Selepas selesai tambatan melalui Bluetooth pengguna diberi pilihan untuk hidup atau matikan RGB Razer Chroma dan turut diberi pilihan untuk hidupkan ciri Audio Reactive di mana pencahayaan RGB mengikut rentak audio.
Kemudian turut ada pilihan equaliser asas yang boleh dipilih sama ada flat, game, movie, atau music. Pilihan input turut disediakan sama ada ingin USb atau Bluetooth jika Leviathan V2 X ini disambungkan pada telefon dan komputer serentak. Razer turut menyertakan kawalan aras suara dalam aplikasi bersama-sama dengan kawalan media sama ada untuk bisu, langkau, jeda dan main.
Pada Razer Synapse pula, saya masih tidak menggemari rekaan antaramuka. Ia nampak tidak kemas, walaupun mudah untuk digunakan. Ia mempunyai ciri dan fungsi sama pada aplikasi Razer Audio, tetapi ada tambahan seperti equaliser yang boleh dilaras dengan lebih baik.
Untuk Chroma, terdapat kawalan tahap kecerahan, jenis pergerakan cahaya serta ada pilihan untuk diselarikan dengan produk Razer lain yang ada Chroma melalaui Chroma Studio Module yang membolehkan semua produk Razer dimiliki pengguna mempunyai pencahayaan sama.
Butang-butang fizikal pada Leviathan V2 X seperti yang saya sebutkan tadi sedap ditekan. Butang pertama adalah untuk input, kemudian ada butang Bluetooth di mana apabila ditekan lampu berubah menjadi biru, butang kuasa yang hanya perlu ditekan sekali serta butang kawalan aras suara.
Kesimpulan
Razer Leviathan V2 X adalah soundbar yang mampu milik tetapi prestasi audio produk ini adalah tidak cukup memuaskan untuk produk yang berharga RM499. Ia mempunyai rekaan yang cantik, sokongan RGB Chroma yang menghasilkan mod gaming menarik dan aplikasi yang mesra pengguna.
Tetapi bagi sebuah produk audio, kualiti audio adalah perkara paling utama dan anda boleh dapatkan speaker lain pada harga lebih murah atau jika anda inginkan RGB ada pilihan bawah RM300 seperti speaker Creative Pebble Pro. Bayar dalam RM100 lagi, anda boleh mendapatkan sebuah soundbar lebih besar dengan subwoofer kayu seperti yang ditawarkan Philips.
Saya mungkin tidak akan menggunakan soundbar ini lagi, dan lebih rela menggunakan set fon kepala untuk audio yang lebih sedap dan pengalaman pendengaran yang lebih memuaskan. Kami hanya boleh sarankan Leviatan V2 X kepada peminat tegar produk Razer yang ingin mempunyai ekosistem lengkap di rumah.
Pro
- Rekaan yang minimalistik dan nampak kemas.
- Sokongan Razer Chroma yang memeriahkan lagi meja.
- Aplikasi yang mesra pengguna dan muda dikawal.
Kontra
- Kualiti audio yang tidak memuaskan.
- Pilihan sambungan terhad kepada Bluetooth dan USB-C sahaja.
- Harga jualan yang agak tinggi untuk prestasi audio yang ditawarkan.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source link