Bekalan beras tempatan meruncing, ada pihak sorok?


PETALING JAYA: Ketika kerajaan memberi jaminan bekalan beras tempatan mencukupi untuk menampung keperluan domestik, namun realiti di lapangan sebaliknya.
Tinjauan FMT di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Selangor mendapati, bekalan beras Super Spesial Tempatan (SST) bagi kampit 5kg dan 10kg di rangkaian kedai runcit mahupun pasar raya premium, sangat sukar diperoleh.
Rak di kebanyakan pasar raya hanya menjual beras import manakala ruangan untuk beras SST kosong sehingga “berhabuk”.
Seorang pengurus stor sebuah pasar raya premium di Puncak Alam hanya mahu dikenali Syazwan memberitahu FMT, pihaknya sudah menghantar pesanan untuk mendapatkan bekalan beras SST kepada pembekal, namun hanya menerima beras import.

“Sudah dua minggu begini, bukan kami tak mahu jual tetapi pihak pembekal sendiri maklumkan mereka sukar mendapat bekalan beras SST,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata apabila bekalan sampai, pengguna yang “berbaris” membelinya adalah warga asing.
Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, memaklumkan Malaysia mempunyai stok bekalan beras sebanyak 900,000 tan iaitu 250,000 tan stok penimbal dan 650,000 tan bagi stok dagangan, mencukupi bagi menampung keperluan beras negara untuk tempoh empat hingga lima bulan.
Justeru, beliau berpandangan tiada keperluan mendesak bersifat kecemasan untuk menggunakan stok penimbal beras kerana stok dagangan sedia ada sebanyak 650,000 tan itu masih mencukupi bagi menampung keperluan domestik.
Catu beras SST
Pengurus sebuah rangkaian pasar raya di Sungai Buloh hanya mahu dikenali sebagai Naim mendakwa, pembekal memaklumkan terdapat lambakan beras import di gudang sehingga memaksa pengilang mencatu pengeluaran beras SST.
“Kami memang dah minta, katanya beras (SST) tu ada tapi pengilang nak habiskan dulu beras import. Bila kita bising pembekal kata akan masuk, tapi tak masuk-masuk lagi.
“Pembekal kata nak habiskan ‘pack’ import dulu sebab kalau letak beras tempatan, pengguna tak beli beras import,” dedahnya.

Beliau juga memaklumkan selain beras SST, beberapa barangan bersubsidi lain seperti minyak peket, tepung dan gula juga mengalami gangguan bekalan.
“Sehingga memaksa kami mencatu had pembelian setiap pembelian. Sebagai contoh, setiap keluarga dihadkan membeli 4kg gula pasir (bersubsidi) sahaja,” katanya.
Seorang pengurus stor sebuah pasar raya besar dikenali Nor Fazilah memberitahu, pihaknya dikehendaki menghantar laporan jumlah beras yang diterima kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan sudah memaklumkan kepada pihak berkuasa hanya menerima beras import sejak beberapa minggu lalu.
“Namun, keadaan masih sama. Bila kami ‘order’ tetap tak ada stok (beras SST),” keluhnya.
Untuk rekod, bungkusan beras di pasaran tempatan dikelaskan kepada empat kategori iaitu kod ungu (beras putih tempatan), kod biru muda (beras putih import), kod merah jambu (beras wangi) dan kod oren (beras basmathi/istimewa).
Kerajaan menetapkan harga siling bagi beras SST dijual pada RM13 (5kg) dan RM26 (10kg) sementara beras putih import ditentukan mengikut harga pasaran.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source