Siapa tak kenal dengan Dato’ Alha Alfa, usahawan kosmetik dan figura yang merupakan antara nama jurumekap artis (MUA) yang dikenali dikalangan industri seni kita.
Bermula dengan minat terhadap seni solekan dan kemudian menjadi makeup artist, Dato’ Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil atau mesra di sapa Dato’ Alha Alfa mengusahakan lebih daripada satu outlet jenama Alha Alfa Cosmetics dan berstatus jutawan!
Ketika menjadi makeup artist lagi, karakter menyenangkan Dato’ Alha yang berdisiplin dan menepati masa dikagumi ramai. Biarpun semakin maju dalam berniaga dan berpangkat VIP namun peribadi Dato’ Alha tetap sama seperti dulu yang terkenal dengan sifat rendah diri.
Enggan mendabik dada dengan kurniaan rezeki yang diterimanya, Dato’ Alha dalam temu bual berkongsi sisi hidup sebelum berjaya. “Saya mula terlibat dengan dunia mekap ini ketika belajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar, Perak. Waktu itu roommate saya pelajar fotografi. Jadi mereka ada tugasan untuk shoot model dan memerlukan makeup artist.
First mekap yang saya iaitu ekor burung merak di bahagian mata untuk final project roommate saya tadi. Alhamdulillah, gambar yang diambil berjaya masuk galeri UiTM dan menarik minat pensyarah.
Dari situ saya mula dapat networking dan mereka mula minta saya mekap. Memandangkan duit PTPTN yang saya dapat tak cukup untuk pengajian, saya terima kalau ada yang minta untuk mekap.
Waktu itu bapa kerja tukang kebun dan ibu pula cuma jaga anak orang. Bawah saya ada lagi dua adik dan kakak pun masih belajar di universiti. Sebagai anak kedua, saya rasa takut untuk susahkan ibu ayah dan minta duit daripada mereka.
Bila ada yang minta khidmat saya untuk mekap, memang saya mengaku takut letak harga sebab belum pernah buat. Jadi saya cuba letak harga RM30 je.”
Tambah pengasas Alha Alfa Rich Legacy Sdn Bhd ini lagi, “Sejak tu, tiap hujung minggu saya dah ada job. Saya akan siapkan assignment awal-awal. Sudahnya duit mekap yang saya kumpul sampai boleh bagi dekat ibu ayah.
Dari situ saya nampak yang mekap ni boleh buat duit. Selain duit tu saya guna untuk tampung belajar, saya juga share dengan kawan-kawan yang susah.
Lama kelamaan, lecturer minta saya mekapkan penari UiTM Seri Iskandar untuk satu persembahan di UiTM Shah Alam. Bayangkan dari Perak saya perlu mekap berpuluh orang penari sebab bila mereka sampai je di Shah Alam, terus kena perform. Sampai Shah Alam saya terus muntah sebab mekap mereka sepanjang dalam bas.”
Tidak pernah mempelajari asas solekan mahupun mengikuti sebarang kelas mekap, Dato’ Alha bersyukur kerana dikurniakan Allah SWT bakat semula jadi. Selain berbakat dalam solekan, beliau juga ada bakat memasak, menghias dan buat kek. Pendek kata, macam-macam benda boleh buat.
Dedah Dato’ Alha yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Hiasan Dalaman atau interior design, ilmu yang dipelajari sedikit sebanyak membantu dirinya dalam bidang solekan terutama melibatkan kombinasi sesuatu warna.
“Waktu belajar memang saya sukses. Setiap semester dapat Anugerah Dekan dan Best Student sampai berpeluang pergi ke Beijing.
Jenis saya, kalau dah minat memang akan buat betul-betul. Dulu tak terfikir langsung pun nak jadi usahawan kosmetik atau makeup artist. Dulu nak jadi landscaper sebab tengok ayah tukang kebun. Iyalah, masa tu masih muda dan saya cuma nampak macam mana nak bantu ayah cantikkan lagi landskap.”
Walau pada mulanya beliau cuba menyembunyikan kerjaya sebagai makeup artist daripada pengetahuan keluarga namun Dato’ Alha akur memaklumkan perkara tersebut kepada kedua-dua ibu bapa.
“Lepas dah tahu, mereka tak marah sebaliknya supportive. Kadang ibu tolong sediakan keperluan mekap. Ayah pula tolong campurkan warna-warna untuk hasilkan efek yang lebih real. Ayah pun ada darah seni dan banyak membantu.
Sepanjang saya belajar UiTM Perak, ayah baru jadi tukang kebun. Sampai saya dah jadi makeup artist pun masih lagi kerja tukang kebun. Dari dulu sampai sekarang kalau ada job mekap, memang saya praktikkan ambil sejumlah duit yang saya dapat dan ‘letak tepi’ untuk bagi ibu ayah.
Dalam fikiran saya, kalau ada job mekap mesti ada duit untuk parents aku. Kalau balik tak tinggalkan duit untuk mereka, baik tak payah balik. Sampai macam tu sekali.
Jadi mereka dah ada duit gaji tiap bulan. Saya juga pesan dekat kakak yang jaga company, tiap-tiap bulan mesti ada duit untuk ibu ayah. Yang buatkan saya lebih semangat pergi kerja, fikir kalau malas mak ayah aku tak ada duit. Memang saya lebihkan mereka sebab kami pernah hidup susah.”
Ditanya bagaimana terdetik idea untuk berniaga kosmetik, ini jawapan telus Dato’ Alha. “Dari dulu saya banyak promote produk orang. Sampai satu tahap dan sedar pengaruh yang saya ada, saya terfikir untuk keluarkan produk kosmetik sendiri.
Jadi saya pun pergi ke kilang dengan ditemani kakak dan abang ipar. Dulu kilang cuma setuju keluarkan produk minimum 10,000 unit dan buat R&D sendiri yang kos dia cecah RM50 ribu.
Dengar je macam tu, saya terus ajak kakak balik. Saya pula takut nak pinjam duit sebab takut berhutang. Selama bertahun-tahun kakak yang urus duit saya. Iyalah kakak sendiri, memang kita percaya tak terfikir dia tipu adik sendiri.
Tiap kali saya habis job mekap dan orang bank in duit ke kakak, dia akan terus bagi duit dekat saya. Memang saya tak persoal berapa saya dapat dan percaya dengan kakak selama bertahun.
Satu hari kami pergi ke kilang lagi dan pulang hampa sebab tak mampu keluarkan produk. Kakak tanya betul ke saya nak produk mekap ni. Sudahnya dia beritahu sepanjang bertahun jaga duit mekap saya, dia dah sorok dan simpan banyak duit yang saya ada sebenarnya sebab dia tak nak saya boros. Duit yang kakak simpan tu cukup untuk buat modal produk.
Kami jumpa balik dengan orang kilang dan terus buat. Seribu botol pertama yang keluar tu memang dah ada pembeli. Dari bungkus parcel sendiri dan kemudian keluarga kena tolong sampai beribu-ribu parcel kena urus, lama-lama kakak kata dah patut ada company.”
Perancangan Allah SWT untuk Dato’ Alha nyata tersusun indah. Berkat kerja keras, sikap beliau yang sering mengutamakan ibu bapa dan adik-beradik pastinya menjadi salah satu ‘resipi’ kejayaan beliau hari ini.
Tambahan pula, sikap dermawan Dato’ Alha yang suka membantu golongan susah tanpa mengira bangsa mahupun agama. Semoga perkongsian Dato’ Alha ini menjadi suntikan semangat dan inspirasi untuk remaja diluar sana untuk berjaya.
Kredit : Nona
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source