Secara rasminya, gadis eksotik berketurunan Cina-India, Melisha Lin telah dimahkotakan dengan tiara rasmi Miss Supranational Malaysia 2022, pada 17 Jun lalu.
Bertempat di lokasi penaja rasmi tiara iaitu CERES Jewels, Melisha, 24 kelihatan cukup manis, peramah dan paling utama, bersedia untuk menggalas tugas mewakili Malaysia ke pertandingan ratu cantik Miss Supranational 2022 yang bakal dilangsungkan di Poland, tidak lama lagi.
ARTIKEL BERKAITAN : Raih Undian Tertinggi, Melisha Lin Diangkat Sebagai Miss Supranational Malaysia 2022 – REMAJA
Apa yang menjadikan upacara pemahkotaan kali ini bersejarah adalah kerana ia secara tidak langsung menamatkan ‘kemarau’ empat tahun sejak Malaysia menghantar wakil ke pertandingan Miss Supranational.
Kali terakhir adalah menerusi pelakon dan model jelita, Sanjna Suri pada tahun 2018 di mana dia telah menempatkan diri dalam kelompok 25 peserta terbaik. Sanjna yang turut ditemui di majlis yang sama meluahkan rasa gembira apabila akhirnya dia memiliki pengganti setelah tempoh yang cukup lama.
“Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Melisha. Saya percaya dia mempunyai segala ciri-ciri sebagai seorang ratu. Bukan hanya cantik, dia juga bekerja keras dan berdedikasi. Saya berharap Melisha akan benar-benar menikmati masanya di Poland kerana peluang tersebut hanya akan datang sekali seumur hidup,” pesan Sanjna.
*
Pada majlis tersebut, Sanjna telahpun menyerahkan mahkota tajaan CERES kepada Melisha yang khabarnya bernilai USD1.5 juta atau kira-kira RM6.6 juta!
Jika korang perasan, tiara tersebut merupakan tiara sama yang pernah ditaja oleh CERES sewaktu berkolaborasi dengan sebuah lagi pertandingan ratu cantik di Malaysia, tidak lama dahulu.
Dalam ucapannya yang diselit sedikit perasaan sebak, Melisha melihat perjalanannya dalam platform Miss Supranational sebagai satu pengalaman yang memberinya seribu satu makna.
“Saya berterima kasih kepada Pengarah Kebangsaan Miss Supranational Malaysia 2022, Dr Sean Wong, Encik Eric Goh, para penaja saya, ahli keluarga, rakan-rakan dan rakan media yang tidak putus-putus memberikan sokongan selama ini.
“Saya memulakan ‘perjalanan Supra’ saya pada tahun 2020 dan ia penuh dengan rasa minat serta dedikasi tinggi; demi mengharungi cabaran-cabaran yang hadir dengannya. Akhirnya, tiba juga masa yang saya nanti-nantikan.
“Tinggal seminggu saja lagi sebelum saya bertolak ke Poland pada malam 26 Jun 2022 dan membawa nama Malaysia di Miss Supranational 2022,” umum graduan jurusan Pengurusan Pemasaran ini dengan penuh bertenaga.
Melisha terlebih dahulu pernah menyertai pertandingan ratu cantik Supra Star Search dan menduduki kedudukan Naib Juara. Bak katanya sendiri, “Takdirnya (untuk menang) tidak dinafikan tetapi hanya ditangguhkan seketika.” (“My destiny was not denied but just delayed.”)
“Saya amat bersyukur kerana dipilih mewakili Malaysia ke Poland. Saya teruja dengan peluang ini dan buat organisasi Miss Supranational, terima kasih kerana sekali lagi menerima penyertaan Malaysia setelah empat tahun (negara) tidak menghantar wakil ke sana.
“Ingatlah (kepada semua yang menyokongnya), usah pernah takut untuk mencuba, jangan biarkan kegagalan lampau menghantui anda dan hanya diri anda yang menakrifkan siapa anda yang sekarang,” tambahnya lagi.
Relatifnya, Melisha tidak mempunyai tempoh masa penyediaan terpanjang dalam kalangan ratu cantik dari Malaysia sebelum bertanding di peringkat antarabangsa. Kira-kira sebulan saja masa yang dimiliki Melisha. Bayangkan, dia dimahkotakan secara rasmi hanya sembilan hari sebelum bertolak.
Namun percayalah, Melisha telah menggunakan waktu yang ada ini untuk betul-betul mempersiapkan apa yang patut untuk memberi saingan terbaik. “Selain menghabiskan waktu-waktu terakhir ini untuk menyiapkan penggambaran ‘look book’ saya (OOTD Melisha di Poland kelak), ada beberapa video lain yang perlu saya siapkan untuk dihantarkan kepada pihak Miss Supranational.
“Ya, banyak juga perkara yang perlu saya lakukan sebelum hari Ahad ini tetapi saya tetap teruja,” katanya yang telahpun menyiapkan tiga gaun malam untuk dipilihnya menjelang acara kemuncak Miss Supranational 2022.
Jangan lupa untuk mengundi Malaysia dan Melisha bagi Miss Supranational 2022 apabila info lanjut mengenai proses pengundian diberitahu kelak. Ayuh Malaysia! Kita pernah menjadikan impian beberapa ratu cantik negara tercapai menerusi undian peminat sebelum ini. Jadikan impian Melisha untuk membuka langkah seterusnya di pentas Miss Supranational 2022 satu kenyataan.
Sumber Foto : Instagram Melisha Lin
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source