Lebih ramai rakyat Malaysia dijangka hijrah ke Australia


PETALING JAYA: Bagi Shahrin S, perkara paling sukar untuk berpindah dari Malaysia ialah meninggalkan keluarga dan rakan-rakannya. Bagaimanapun, dia tidak menyesal dengan keputusannya untuk memulakan hidup baru di Australia.
Shahrin, yang berhijrah pada 2022, adalah salah seorang daripada ramai rakyat Malaysia yang berpindah ke negara itu, berdasarkan pelbagai faktor daripada ketersediaan peluang ekonomi yang lebih baik dan kestabilan politik negara kepada kualiti hidup yang lebih tinggi.
Pengurus program IT yang kini menetap di Australia Selatan itu menjangkakan lebih ramai rakyat Malaysia akan berhijrah ke sana pada masa hadapan, untuk melarikan diri daripada rasuah yang menjadi endemik, ketidakstabilan politik dan ketegangan kaum di negara asal.
“Ia bagus untuk tinggal di negara di mana cukai digunakan dengan baik dalam membangunkan negara dan seterusnya menyokong rakyat.
“Biasiswa, pembiayaan dan bantuan kewangan diberikan semata-mata berdasarkan merit dan pencapaian, tanpa mengira latar belakang etnik, bangsa atau agama,” kata penduduk tetap Australia itu kepada FMT.
Shahrin tidak menyesal meninggalkan keistimewaan Bumiputera dimilikinya di Malaysia, sambil berkata dia jarang menggunakan kelebihan itu.
“Jadi, berpindah ke Australia tidak ada beza. Malah, keluarga saya telah menikmati lebih banyak keistimewaan migran daripada kerajaan Australia Selatan.”
Data yang ada menunjukkan peningkatan ketara dalam penghijrahan bersih rakyat Malaysia ke Australia pada 2023. Menurut Statista, kira-kira 4,890 rakyat Malaysia berhijrah ke Australia tahun lepas.
Jumlah itu mewakili peningkatan yang ketara berbanding tahun sebelumnya, apabila kira-kira 2,930 rakyat Malaysia mengambil langkah itu.
Nicole Yong, pengarah urusan Kitson Migration Advisory, berkata faktor seperti pendidikan, prospek pendapatan yang lebih tinggi dan persekitaran kehidupan yang lebih baik menjadikan Australia menarik kepada rakyat Malaysia.
“Pada 1980-an dan 1990-an, rakyat Malaysia yang belajar di Australia akhirnya pulang ke Malaysia kerana hubungan kekeluargaan dan peluang perniagaan yang baik di tanah air.
“Tetapi sejak kebelakangan ini, kebanyakan orang memilih untuk terus menetap di sana. Malah ibu bapa mahu anak-anak mereka tinggal di Australia untuk masa depan yang lebih baik,” kata Yong, yang firmanya mengkhusus dalam “perkhidmatan penghijrahan” untuk rakyat Malaysia yang ingin berpindah ke Australia.
Manakala Balraj Rajagopal yang tinggal di Melbourne pula berkata dia berhijrah ke Australia kerana dasar yang adil dan saksama, peraturan undang-undang yang tetap, pendidikan berkualiti dan peluang yang sama rata.
Balraj menjangkakan lebih ramai rakyat Malaysia, terutamanya doktor dan pakar IT, akan berpindah ke sana atas sebab yang sama.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Source