Segera selaras pencen, pesara dapat kebenaran semakan kehakiman


KUALA LUMPUR: Seorang pesara perkhidmatan awam memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi untuk memulakan semakan kehakiman terhadap kerajaan Malaysia supaya menyegerakan penyelarasan pencen.
Hakim Amarjeet Singh memutuskan demikian selepas peguam Abd Shukor Ahmad yang mewakili Aminah Ahmad memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman itu.
“Mahkamah membenarkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dan menetapkan pengurusan kes pada 14 Mac ini menerusi e-Review,” kata hakim itu.
Prosiding itu turut dihadiri seorang lagi peguam mewakili Aminah, Baljit Singh Sidhu, manakala AGC diwakili Peguam Persekutuan Ainna Sherina Saipolamin.
Pada 12 Jan, Aminah yang bersara sebagai penjawat awam di Kementerian Luar atas kapasiti peribadi dan bagi pihak 56 pesara lain memfailkan permohonan itu dengan menamakan kerajaan dan ketua pengarah perkhidmatan awam sebagai responden.
Dalam permohonan itu, dia memohon perintah mandamus bagi memaksa kedua-dua responden menyegerakan penyelarasan pencen kepada amaun kelayakan pencen mengikut formula yang terkandung dalam Seksyen 3 dan 6 Akta Penyelarasan Pencen 1980, sebelum pindaan di bawah Seksyen 3 dan 7 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) (PAA) 2013.
Aminah juga memohon perintah supaya responden melaksanakan pembayaran tunggakan pencen kepada pemohon dalam tempoh 14 hari, selain memohon perintah pengisytiharan bahawa kegagalan membayar tunggakan pencen melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Sebelum ini, Aminah, bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam, telah menyaman kerajaan dan ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kerana mendakwa pindaan kepada PAA 2013 mengakibatkan keadaan kurang memberi manfaat kepada beliau, berbanding skim pelarasan persaraan sebelum ini di bawah PAA 1980.
Di bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred yang berkenaan, bagaimanapun pindaan 2013 diperkenal berdasarkan kadar rata dua peratus kenaikan tahunan.
Saman Aminah pada mulanya diketepikan oleh Mahkamah Tinggi pada 2020, namun susulan rayuan Mahkamah Rayuan yang membuat keputusan memihak kepadanya. Kerajaan dan ketua pengarah JPA pula mendapat kebenaran merayu pada 2022.
Bagaimanapun pada 27 Jun 2023, Mahkamah Persekutuan mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan undang-undang pencen yang dipinda sebagai terbatal dan tidak sah, selain turut menolak rayuan kerajaan serta ketua pengarah JPA untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan.
Sementara itu, Baljit Singh ketika ditemui pemberita berkata beliau dan anak guamnya berterima kasih kepada AGC kerana memberi kebenaran kepada permohonan semakan itu.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source