Laporan HRW dedah dakwaan layanan buruk di pusat tahanan


PETALING JAYA: Laporan terbaru Human Rights Watch (HRW) memperincikan layanan buruk didakwa di pusat tahanan imigresen yang menempatkan pelarian dan pencari suaka, dengan dakwaan pencabulan hak asasi manusia serta penganiayaan.
Laporan tersebut, berdasarkan temu bual dijalankan terhadap 43 individu yang ditahan di depot imigresen, menceritakan pengalaman hitam bekas tahanan itu.
“Mereka mendakwa pegawai di pusat tahanan memaksa mereka bergayut di dinding seperti cicak dan melakukan beratus-ratus ketuk ketampi dan tekan tubi,” kata laporan itu.
Menurut laporan tersebut, seorang bekas tahanan di depot di sebuah negeri di utara berkata: “Kami akan dipukul apabila meminta lebih banyak makanan, mengambil lebih air dalam baldi untuk mandi, atau meminta selimut kerana kesejukan.”
Mereka dikenakan peraturan sembarangan dan ketat, dengan dikenakan hukuman, termasuk dipukul kerana membuat bising atau meminta barang keperluan asas.
NGO antarabangsa itu juga mendakwa tahanan menderita keadaan hidup yang teruk, kurangnya penjagaan perubatan, dan menjadi mangsa penyeksaan dan penganiayaan fizikal berpanjangan, yang didakwa mengakibatkan “banyak” kematian.
Bekas tahanan juga mendakwa beberapa pegawai di depot imigresen terlibat dengan rasuah.
Laporan itu juga mendakwa, wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa penganiayaan dan pengabaian.
“Tahanan wanita mendakwa menerima layanan yang memalukan dan penganiayaan jantina, seperti dipaksa melakukan ketuk ketampi dalam keadaan bogel dan dipaksa memotong rambut.”
Katanya, lebih 1,400 kanak-kanak ditahan di depot, dengan dua pertiga daripada mereka tidak ditemani atau dipisahkan daripada keluarga. Ramai kanak-kanak ditahan bersama orang dewasa yang tiada hubungan.
Wanita juga didakwa terpaksa melahirkan anak di depot tetapi masih ditahan bersama bayi baru dilahirkan, tanpa penjagaan selepas bersalin dan keperluan seperti lampin dan susu formula, kata laporan tersebut.
Didera pengawal
Seorang pekerja asing juga mendakwa didera oleh pengawal selepas dia bersama 13 lagi tahanan cuba melarikan diri. Dia didakwa dipukul dengan rotan dan batu-bata, serta ada pengawal berdiri di atas dada mereka.
Dua daripada tahanan itu akhirnya meninggal dunia, dakwa laporan itu.
“Ali (bekas tahanan) melihat pengawal memukul seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang meminta lebih roti. Apabila dia meminta pengawal itu berhenti memukul kanak-kanak itu, Ali diletakkan dalam tangki air semalaman dan dipukul jika cuba berdiri.
“Pekerja kemanusiaan dan bekas tahanan berkata keadaan di pusat tahanan imigresen lebih teruk daripada penjara Malaysia. Sekurang-kurangnya di penjara, seorang pekerja asing berkata, mereka diberi sabun dan pakaian bersih, dan dibenarkan meninggalkan bloknya,” kata HRW.
Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) tidak dibenarkan melawat ke pusat tahanan sejak 2019, menghalang semakan terhadap dakwaan pencari suaka dan mendedahkan pelarian tanpa perlindungan.
Tahanan yang meminta untuk bertemu wakil agensi itu juga mendakwa mereka menerima ugutan daripada pegawai
Bulan lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau tiada masalah untuk membenarkan UNHCR melawat depot imigresen, dan menambah mereka mencapai persetujuan mengenai perkara itu semasa perbincangan sebelumnya.
HRW juga mengemukakan senarai cadangan kepada kerajaan untuk tindakan segera, termasuk memperbaiki keadaan di pusat tahanan, membebaskan pelarian dan pencari suaka, dan menubuhkan alternatif berdasarkan komuniti untuk penahanan.
Ia menyeru kanak-kanak dibebaskan dan dibenarkan ke sekolah semasa menunggu pemindahan.
Kumpulan itu menjalankan temu bual mereka dari Januari hingga Mac 2023. Katanya, usaha untuk mendapatkan penjelasan Kementerian Dalam Negeri tidak berjaya.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source