Labuan digelar Mutiara Borneo dan menjadi sebuah pusat perdagangan dan kewangan disegani.
Terletak kira-kira 10 kilometer dari pantai Sabah, Labuan diletakkan dalam Wilayah Persekutuan diisytiharkan pusat kewangan luar pantai pada 1990 dan menjadi pelabuhan bebas cukai sejak 1956.
Labuan mempunyai pelbagai daya tarikan istimewa, dengan panorama pantai yang indah untuk menyaksikan matahari terbenam dan aktiviti rekreasi air, snorkeling dan lawatan ke pulau-pulau.
Kedai Bebas Cukai
Tahu tak Labuan turut menjadi destinasi percutian tumpuan pelancong kerana zon bebas cukainya bebas cukai yang menyediakan pelbagai jenis barangan antaranya coklat, makanan dan tembakau yang dijual murah.
Walaupun coklat banyak dijual di tempat lain, istimewanya produk di kedai bebas cukai itu jarang ditemui di tempat lain. Malah, ada antaranya memang boleh ditemui di situ saja.
(War Cemetery Labuan) Memorial Perang Dunia Kedua
Memorial Perang Dunia Kedua di Labuan ini adalah yang terbesar di Malaysia dan menjadi saksi kepada persemadian 3,908 askar yang terkorban pada Perang Dunia Kedua.
Ia adalah tempat utama bagi sambutan Hari Peringatan dan upacara tahunan bagi menghormati wira perang, dijalankan dengan penuh tradisi ketenteraan.
Peace Park (Taman Damai)
Merupakan salah satu tempat wajib bagi pengunjung jika datang ke Labuan. Taman Damai yang tenang di Kampung Layang-Layangan ialah simbol keamanan dan harmoni yang diserikan dengan jambatan gaya Jepun, kolam dan landskap menarik. Taman Damai ialah tanda penghormatan bagi mereka yang bertarung nyawa di Borneo ketika Perang Dunia Kedua.
Surrender Point (Tugu Penyerahan Jepun)
Di sebelahnya ialah Tugu Penyerahan Jepun iaitu tempat Angkatan Tentera Jepun ke-37 menyerah kepada Angkatan Tentera Diraja Australia pada 10 September 1945. Penyerahan penuh bersejarah itu menandakan tamatnya Perang Dunia Kedua di Borneo. Tugu itu dilancarkan semula pada 2011 dan ia didirikan bagi memperingati askar yang berjuang untuk kebebasan Borneo, sekali gus menamatkan perang.
Muzium Chimney
Ia adalah bukti peninggalan aktiviti perlombongan arang batu di Tanjung Kubong yang berusia lebih seabad.
Muzium itu agak unik kerana berdasarkan namanya ramai menganggap ia berfungsi sebagai cerobong asap. Namun, tiada kesan pembakaran pada dinding sebelah dalam.
Pulau Rusukan Besar, Pulau Rusukan Kecil & Pulau Kuraman
Pulau Rusukan Besar merupakan salah satu daripada pulau yang telah digazetkan sebagai Taman Laut Labuan sejak tahun 1994. Terdapat tiga buah pulau yang telah digazetkan oleh kerajaan Labuan iaitu Pulau Rusukan Besar, Pulau Rusukan Kecil dan Pulau Kuraman. Ketiga-tiga pulau ini terletak berdekatan antara satu sama lain.
Memandangkan pulau ini dikategorikan sebagai taman laut, segala aktiviti yang mengancam dan mengganggu gugat kesejahteraan hidupan marin seperti memancing, memukat dan menangkap ikan adalah tidak dibenarkan.Persekitaran yang cantik dengan suasana yang menyegarkan serta air laut membiru serta jernih menjadi antara daya penarik kepada orang ramai untuk datang ke pulau-pulau ini.
Pulau Rusukan Besar juga dikenali sebagai lokasi pemuliharaan penyu sejak 2011, manakala pemulihan batu karang di sini pula bermula sejak 2015. Antara aktiviti yang menjadi perhatian pengunjung ialah berenang, snokerling serta menikmati keindahan panorama yang ada.
Jika di Pulau Kuraman Besar pula, pengunjung juga boleh berjalan mengelilingi pulau yang mengambil masa kira-kira satu jam sahaja. Selain daripada pelbagai aktiviti, terdapat juga banyak kemudahan yang disediakan buat pengunjung seperti tandas awam, calet, tapak barbeku dan balai informasi pulau.
Pantai Pancur Hitam
Pasti tidak lengkap rasanya jika datang ke Labuan jika tidak menikmati panorama matahari terbenam yang sungguh mempesonakan. Persekitaran Labuan dikelilingi laut menyebabkan kawasan pantai sering menjadi tumpuan pengunjung terutama di hujung minggu untuk menyaksikan fenomena semula jadi itu. Antara pantai terkenal di Labuan ialah Pantai Pancur Hitam.
Pantai Layang-Layang
Pantai Layang-Layangan mempunyai air yang jernih dan pantai yang bersih. Pantai Layang-Layangan turut menjadi tumpuan untuk bergambar kerana di hujung pantai itu terdapat sepohon pokok yang tumbuh di atas batu dan hanya dapat dilihat dengan lebih dekat ketika air surut.
Sumber: Integratedinfo | Sumber Foto: Google Image
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source