Arghh, rindu woo nak berebut beli makanan kat kantin. Ini antara nostalgia kita di alam persekolahan tapi nampaknya selagi penawar COVID-19 belum ditemui, selagi itulah akan ada penjarakan sosial dan masyarakat harus belajar hadam norma baru kehidupan.
Laporan Bernama hari ini, pemeriksaan suhu badan di sekolah dan makan di dalam kelas pada waktu rehat antara normal baharu bakal diamalkan oleh pelajar apabila sekolah dibuka kelak.
Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, garis panduan itu menetapkan pemeriksaan suhu badan dilakukan oleh guru setibanya pelajar di pintu pagar sekolah dan sekiranya mereka bergejala, tindakan selanjutnya diambil.
“Kita juga sedar pelajar ini kadang-kadang ke sekolah berjalan kaki, ada yang naik basikal dan suhunya tinggi sedikit daripada 37.5 darjah celsius… pelajar ini akan diminta berehat dahulu bagi memastikan suhu badan mereka kembali normal dan suhu diperiksa sekali lagi.
“Setiap sekolah juga memang kena ada bilik isolasi iaitu jika pelajar menunjukkan sebarang gejala maka mereka akan dibawa ke sini dan pihak sekolah selain menghubungi ibu bapa, juga akan berhubung dengan Pusat Kesihatan berdekatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas lawatan kerja bagi persediaan pembukaan semula sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain, Semenyih, di sini, baru-baru ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Keselamatan Negara Mohd Rabin Basir dan Ketua Pengarah Pelajaran Dr Habibah Abdul Rahim.
Normal baharu itu antara kandungan dalam Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mula diedarkan kepada sekolah dan dimuat naik di laman sesawang kementerian itu pada Khamis.
Garis panduan setebal 34 muka surat itu dihasilkan secara terperinci dan menyeluruh bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Sementara itu, Mohd Radzi berkata ibu bapa tidak perlu bimbang mengenai aspek penjarakan sosial ketika anak mereka di kantin memandangkan waktu rehat dijalankan secara berperingkat dan semua pelajar perlu makan di dalam kelas masing-masing.
“Pelajar perlu membeli makanan berbungkus dan mereka akan beratur mengikut garisan yang ditetapkan dengan jarak satu meter antara satu sama lain sebelum pulang ke kelas masing-masing untuk makan.
“Jadi, keadaan di kantin lebih tersusun dan ibu bapa tidak perlu risau anak-anak berebut ke kantin kerana masa rehat akan dilaksanakan secara berperingkat untuk memastikan tidak semua pelajar berkerumun di kantin dalam satu-satu masa tertentu…kita akan menjarakkan waktu rehat,” katanya.
Bagi memastikan penjarakan sosial antara pelajar terjaga, Mohd Radzi menjelaskan susunan meja bagi setiap kelas mesti dalam jarak satu meter dan sekiranya bilangan pelajar melebihi kapasiti meja disediakan, lebihan pelajar mesti ditempatkan di kelas lain.
Katanya, kedudukan pelajar di dalam makmal juga dijarakkan antara satu sama lain bagi membolehkan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan baik dan selamat.
Mengulas mengenai pergerakan pelajar dalam kawasan sekolah pula, beliau berkata arah laluan pelajar akan ditanda dengan anak panah bagi mengelakkan pertembungan berlaku.
Selain itu, katanya, guru-guru juga tidak perlu khuatir kerana mengikut garis panduan yang dikeluarkan, keselamatan dan kesihatan mereka turut dititikberatkan oleh kementerian.
“Guru-guru tidak perlu risau mereka akan bersesak-sesak dalam bilik guru, kerana pihak sekolah perlu memastikan terdapat penjarakan sosial walaupun dalam bilik guru. Guru-guru yang dipindahkan dari bilik guru asal akan ditempatkan di bilik bersesuaian termasuklah pusat sumber dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata kementerian turut mengeluarkan garis panduan sama bagi pelajar tinggal di asrama iaitu katil mereka dijarakkan satu meter malah dewan makan yang disediakan turut menitikberatkan penjarakan sosial antara pelajar.
Menurut beliau, apabila sekolah dibuka pihaknya melihat pelaksanaan garis panduan itu dan sekiranya terdapat ruang untuk penambahbaikan, ia akan dilakukan bagi memastikan pelajar hadir ke sekolah mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam keadaan selamat.
“Kita amat berharap anak-anak nanti apabila datang pastikan penjarakan sosial itu sentiasa diamalkan di sekolah dan sepanjang perjalanan mereka datang dan balik dari sekolah,” kata Mohd Radzi.
— BERNAMA
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source