Tanggal 31 Julai 2024, kita menyaksikan peristiwa berdarah di bumi Tehran apabila seorang ketua yang disegani dan diberi kebergantungan harap oleh rakyat Gaza untuk membebaskan bumi Gaza, Ismail Haniyyeh telah gugur namun sentiasa akan diingati di hati sanubari seluruh warga Palestin yang dambakan kebebasan.
Sekatan yang dikenakan ke atas rakyat negara terdapatnya kota suci umat Islam pertama ini saban hari semakin mencabar dan pada hari ini seakan-akan tiada justifikasi keamanan yang mampu memujuk kanak-kanak yang sedang berdepan dengan kelaparan dan kebuluran.
Kehilangan pemimpin yang menjadi tonggak pilihan ramai ini sewaktu dunia melihat Ismail sebagai penggerak diplomasi yang sering bergerak dari negara ke negara untuk proses rundingan dan gencatan senjata. Mereka ternanti-nanti siapakah yang bakal meneruskan usaha mengubah nasib mereka yang di segenap tempat dikepung oleh tentera penjajah.
Namun, hari ini muncul satu sosok yang paling ditakuti oleh negara haram yang semakin bermaharaja lela sejak sekian lama. Kemunculan Yahya Sinwar menjadi ‘pengunci mulut’ buat negara terkutuk ini oleh sebab rekod lampaunya yang sering keluar masuk di penjara Israel serta kemampuan inteleknya yang tinggi dalam mengemudi pasukan perang.
Lantikan ke atas beliau sebagai pemimpin Hamas yang terbaru telah mengundang spekulasi dan ketakutan dalam kalangan pemimpin dan rakyat Israel, seperti yang telah dilaporkan oleh media-media negara tersebut.
Laman berita Haaretz hangat dengan liputan yang dilakukan ke atas proses lantikan tersebut, oleh sebab mereka menuduh Yahya Sinwar sebagai ‘arkitek’ kepada serangan 7 Oktober yang menyaksikan tentera Israel sehingga ke saat ini tidak mampu menangani para pejuang Hamas yang ‘bermain di laman sendiri’ dan licik dalam setiap siri letupan ke atas kereta kebal dan kepakaran mereka dalam menyembunyikan kesemua tebusan biarpun cuba dikesan oleh dron dan juga sistem satelit yang pelbagai.
Kesemuanya dikatakan berada bawah kendalian Yahya Sinwar, satu sosok lelaki berambut putih dan sentiasa mengenakan pakaian kot seperti kebanyakan lelaki Arab Syam. Persoalannya, apakah kemahiran asas beliau sehingga berjaya menakutkan seluruh pemimpin Israel?
Bahasa sebagai senjata.
Di sini penulis senaraikan implementasi kemahiran berbahasa beliau dalam siri perjuangan sebelum dan sewaktu giat memerangi tentera penjajah tersebut.
1. Yahya Sinwar sebagai pelajar fakulti bahasa: Beliau mempunyai asas penulisan bahasa Arab dan mampu memberi ucapan yang mampu membakar semangat para mujahidin oleh sebab latar pengajiannya dalam bidang bahasa yang telah bermula di Universiti Islam Gaza.
Kemampuan berbahasa Arab dengan sempurna sememangnya menjadi ‘kredit’ bagi setiap pemimpin Arab yang ingin melaungkan kebebabasan dan kemerdekaan. Dunia pernah menyaksikan seorang guru Al-Quran dan Bahasa Arab di Libya sekitar tahun 1930-an, Umar Mukhtar yang pernah memimpin umat Islam di sana untuk menentang penjajah Itali. Tanpa penyampaian bahasa yang baik, mana mungkin namanya terus terpahat dalam sejarah sehingga ke hari ini. Beliau terkenal dengan ungkapan:
نحن لا نستسلم، ننصر أو نموت
Nahnu laa namuut, nansur au namuut
“Kita tidak akan menyerah, kita hanya akan menang atau gugur”
Syeikh Ahmad Yasin, pemimpin Hamas yang ikonik, diragut nyawanya menggunakan peluru berpandu ‘Hellfire’ pada 22 Mac 2004. Kekuatan beliau juga berpaksikan kekuatan bahasa Arab dalam setiap siri penyampaian bagi menaikkan semangat para pejuang.
أنا أحب الحياة جدا، لكني أرفض الذل والخضوع والعدوان على نفسي
Ana uhibbu al-hayaah jiddan, laakinni arfudhu al-dzulla wa al-khudhu’ wa al-‘udwaan ‘alaa nafsi
“Aku sayangkan kehidupan, tetapi aku tidak sanggup tunduk dan menjadi hina saat berhadapan dengan musuh”
Bagaimana pula dengan Yahya Sinwar?
Dengan cara yang lebih unik, beliau pernah mengarang novel pada tahun 2004 yang menghimpunkan kisah 30 pejuang Palestin bermula tahun 1967 yang tidak pernah berhenti mencari ikhtiar untuk mengeluarkan bangsa mereka dari cengkaman penjajah.
Buku ini giat mendapat liputan seluruh dunia pada waktu sekarang terutamanya mereka yang mampu membaca tulisan Arab. Kesemua kisah yang terkandung dalam buku berjudul شوك القرنفل (shawku al-qurunful) yang memberi makna ‘duri bunga cengkih’.
Sememangnya kemahiran mengarang novel dalam dunia Arab pasti akan dinilai setiap sisi bahasanya serta susun kata yang mampu memberi kesan kepada para pembaca. Novel ini digarap idea kesuluruhannya berdasarkan kesakitan, keperitan dan kesukaran hidup dalam kemiskinan dan dikawal segala aktiviti seharian sebagai seorang warga Palestin.
Selain itu, novel yang dikarang pada tahun 2004 ini mendapat tempat di hati para pembaca pada hari ini oleh sebab elemen-elemen Al-muqaawamah (kebangkitan) yang sarat disajikan supaya pembaca mengerti nilai perjuangan mereka selama ini.
2. Yahya Sinwar sebagai ‘perisik bahasa’ dalam penjara – Beliau telah menghabiskan tempoh 23 tahun lamanya ‘bertapa’ dalam penjara. Seperti kebanyakan orang, kita menggambarkan kehidupan yang bosan dan tertekan apabila ditahan oleh tentera penjajah yang paling teruk dari segi moralnya, namun Yahya tidak tunduk dengan keterbatasan ini.
Beliau mula mempelajari bahasa Ibrani (Hebrew) dan menghabiskan sebahagian waktu menelaah budaya orang Yahudi Israel melalui bahan-bahan bacaan Ibrani dan sewaktu berinteraksi dengan tentera-tentera yang mengawal penjara.
Hasilnya, sewaktu dibebaskan pada 11 Oktober 2011 dan itu merupakan kali ketiga beliau ditangkap dan dibebaskan selepas kali pertama dan kedua pada tahun 1982 dan 1988. Kali ini, siri pembebasan beliau agak berbeza. Beliau kembali ke pangkuan Hamas bersama ‘aset’ yang mahal dan mempunyai privasi yang tinggi.
Kepulangan beliau kali ini bersama dengan terjemahan buku dalam bahasa Ibrani yang berjudul “Setiap Lembaran yang ada pada Shaabak (Shin Bet)” atau dalam bahasa Arabnya الشاباك بين الأشلاء (al-shaabak baina al-ashillaa’). Shin Bet merujuk kepada makna ‘Perkhidmatan Keselamatan Am’, sebuah fail sulit (yang dibukukan) berkisar tentang maklumat dalaman bagi keselamatan negara Israel.
Buku ini telah dikarang oleh Cermi Gilon yang pernah menjadi pimpinan di Shin Bet dan buku ini merupakan manual asas tentang peranan dan fungsi setiap unit keselamatan bagi mengelola kestabilan negeri. Buku ini juga merupakan asas keselamatan dan yang telah digagaskan oleh David Ben Gurion, perdana menteri pertama Israel dan buku ini turut memuatkan pelan tindakan Israel dalam berhadapan dengan propaganda dan perancangan untuk mengganggu gugat keselamatan negara mereka.
Kemampuan Yahya menterjemah setiap isi buku tersebut dan dipraktikkan di medan perang begitu membimbangkan setiap jeneral tentera Israel yang sedang giat melakukan pembantaian di Palestin.
Kita seakan-akan mendapat jawapan kepada persoalan. Mengapa Israel begitu takutkan Yahya Sinwar, lelaki berumur 61 tahun yang masih misteri tentang kewujudan dan keberadaannya masa kini.
Siri serangan 7 Oktober 2023 yang tidak berjaya ditampan oleh keselamatan Israel seakan-akan lambang kelemahan buat mereka memerangi sebarang ‘serang hendap’ biarpun telah menjajah selama 70 tahun lamanya.
Kesimpulannya, kekuatan bahasa menjadi simbol pertama untuk menyebar luaskan idea penentangan dan perjuangan serta sebagai salah satu sebab kekalahan musuh.
Sebagai umat Islam, khususnya di Malaysia, bahan bacaan kita mungkin perlu dipelbagaikan lagi dalam menangkis sebarang serangan pemikiran, malah menjadikan bahasa tersebut sebagai alat untuk menghukum pihak lawan dalam diam.
Tidak kira apa jua bahasa sekalipun, kita patut biasakan diri mempelajari bahasa-bahasa asing kerana itu mungkin bakal menjadi sumbangan kita dalam menepis apa jua serangan yang tidak terjangka. Untuk bermula dalam pembelajaran bahasa, maka kita patut mulakan dengan seruan wahyu pertama dalam Al-Quran, iaitu Iqra’ (Bacalah!).
Artikel ini dikirimkan oleh Ahmad Syahmi bin Mohamed, Pensyarah Bahasa Arab, Jabatan Bahasa Al-Quran, Pusat Asasi UIAM Gambang untuk The Patriots.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source