Tingkat elemen kenegaraan dalam PLKN 3.0

Dalam menyokong penuh keputusan Kementerian Pertahanan untuk meneruskan pelaksanaan PLKN 3.0, saya ingin menyangkal pandangan diberikan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia pada 5 Dis lalu
Kita sedia maklum bahawa PLKN 3.0 akan berwajah baharu dengan adanya Modul Kenegaraan (Elemen Jati Diri, Elemen Cinta Negara dan Elemen Perpaduan) serta bukan hanya tertumpu kepada latihan ketenteraan.
PLKN 3.0 bukan sahaja memberikan latihan fizikal dan ketahanan mental, tetapi juga berperanan dalam mengukuhkan nilai-nilai kenegaraan dan membentuk rakyat yang berdisiplin, bertanggungjawab, serta memiliki semangat patriotisme yang tinggi.
Dalam dunia semakin moden ini, penting bagi generasi muda menghargai serta memahami sejarah dan identiti negara, serta berpegang teguh pada prinsip-prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia.
Generasi muda kita tidak boleh dibiarkan hanyut dalam arus dunia moden yang semakin mencabar. Kita perlu mempersiapkan mereka untuk menghadapi cabaran masa depan yang semakin kompleks.
PLKN 3.0 memberikan mereka pendedahan tentang nilai-nilai murni, disiplin, dan kepimpinan, yang merupakan teras kepada kejayaan negara bangsa Malaysia.
Program itu juga akan menjadi kunci utama dalam mengukuhkan perpaduan antara kaum dan agama di Malaysia. Program ini menyediakan ruang sangat diperlukan untuk anak-anak muda berinteraksi secara langsung dengan pelbagai latar belakang budaya, yang akan melahirkan masyarakat yang lebih inklusif dan harmoni.
PLKN 3.0 yang akan dilaksanakan mulai tahun depan membawa pembaharuan struktur kurikulum baharu lebih ketara dengan komposisi 70% untuk latihan asas ketenteraan dan 30% elemen kenegaraan.
Saya menyeru agar pembahagian komposisi ini diteliti semula dan mencadangkan agar elemen kenegaraan dinaikkan kepada 50%. Segala penyediaan modul wajar berlandaskan Dasar Perpaduan Negara yang menekankan pembinaan bangsa Malaysia dan identiti negara.
Hanya dengan ini, kita dapat menghakis jurang perbezaan dalam kalangan generasi muda yang berbilang bangsa, agama dan budaya. Ini juga akan menjadi langkah permulaan untuk kita mengurangkan isu 3R (kaum, agama, raja) serta masalah sosial dalam kalangan rakyat pada masa depan.
Satu lagi perkara wajar dipertimbangkan kerajaan mengenai pelaksana PLKN. Selepas dilaksanakan projek perintis oleh Kementerian Pertahanan, program ini wajar diserahkan kepada Kementerian Perpaduan Negara sebagai pelaksana utama supaya agenda perpaduan negara berada di landasan yang tepat.
Kementerian Pertahanan pula terus memberikan fokus dalam soal keselamatan dan pertahanan negara.
PLKN 3.0 adalah suatu keperluan mendesak bagi memastikan masa depan Malaysia yang lebih harmoni dan rakyatnya bersatu padu.
Penulis adalah ketua putera MIC.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Source