Kenyataan Chee berkait jawatan KM Sabah pandangan peribadi, kata STAR


PETALING JAYA: Kenyataan Ketua Wanita Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Kerry Chee, bahawa Presiden STAR Jeffrey Kitingan adalah calon terbaik untuk menjadi ketua menteri Sabah adalah pendapat peribadi beliau, kata Timbalan Ketua Penerangan parti itu, Ardino Diris.
Ardino berkata kenyataan Chee itu bukanlah kenyataan rasmi STAR berkait perkara tersebut.
Beliau menegaskan bahawa, dalam keadaan politik Sabah yang kononnya agak goyang ketika ini, soal siapa yang patut diangkat menjadi ketua menteri sepatutnya tidak dibangkitkan.
Semua pihak, kata Ardino, harus teguh mempertahankan Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor.
“Saya amat yakin presiden STAR mempunyai pandangan yang jauh untuk kesejahteraan rakyat Sabah dan akan terus bekerjasama dengan ketua menteri bagi menerajui kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya.
Ardino mengulas laporan Malaysiakini yang memetik Chee sebagai berkata bahawa jika “keadaan memaksa berlaku perubahan kepimpinan”, Kitingan adalah calon terbaik untuk jawatan tersebut.
Chee juga dilaporkan menyatakan penghargaan kepada presidennya itu dengan mengatakan bahawa pendapat umum yang mahukan beliau memimpin negeri itu adalah “bukti kepada keperibadiannya sebagai seorang pemimpin berwawasan dan juga arkitek kepada masa depan Sabah.”
Beliau juga berkata pengalaman politik Kitingan yang luas, komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap pembangunan negeri, serta kemampuannya menyatukan pelbagai pihak telah meletakkannya di barisan hadapan dalam perbincangan tentang kepimpinan dan masa depan Sabah.
Kitingan, yang juga timbalan ketua menteri, beberapa kali menyatakan sokongan kepada Hajiji, susulan desakan ketua menteri itu meletak jawatan ekoran dakwaan skandal perlombongan yang dikaitkan dengan beberapa Adun.
Jumaat lalu, Kitingan menafikan dakwaan terbabit dalam konspirasi menjatuhkan Hajiji susulan tersebarnya tangkap layar perbualan WhatsApp beliau dengan seorang individu.
Kitingan berkata perbualan bertarikh 1 Nov itu “hanya sebahagian perbualan dipetik di luar konteks” dan dijadikan sebagai sokongan palsu kepada tuduhan bersifat “mengelirukan dan bermotifkan politik”.
Beliau juga menegaskan bahawa partinya sentiasa menyokong pelantikan Hajiji sebagai ketua menteri sejak 2020, dan sokongan itu tidak pernah berubah meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Rabu lalu, Kitingan turut mempertahankan Hajiji daripada desakan supaya meletakkan jawatan selepas seorang pemimpin Umno mendakwa wujud defisit kepercayaan terhadap ketua menteri itu.
Kitingan tegas menolak dakwaan Bendahari Pemuda Umno Naim Kurniawan Moktar dengan berkata beliau bukan orang sesuai untuk menghukum sama ada Hajiji telah hilang kepercayaan orang Sabah.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source